Cukuplah Bahasa Melayu, Inggeris Untuk Urusan Rasmi?

Nampak nya proses peremajaan demokrasi negara ini bertambah menarik bilamana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) membuat kenyataan rasmi kementerian beliau dalam bahasa Mandarin.
Menurut LGE penggunaan bahasa berkenaan melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.
Walaupun tindakan LGE ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 (1) (a); bahasa kebangsaan adalah bahasa rasmi yang digunakan dalam tujuan rasmi.
Namun LGE berkata bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada mana-mana orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain.
Menyifatkan para pengkritiknya bersikap “perkauman”, Lim berkata beliau tidak akan tunduk kepada mereka.
Kenyataan menteri kewangan akan terus dikeluarkan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris, katanya.
Malaysia baru merupakan sebuah negara yang inklusif, saling menghormati dan pelbagai.
Walaupun pada hakikatnya pada saat kita memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita juga perlu menguasai bahasa lain bagi meningkatkan kebolehsaingan kita, katanya.
Walaupun ada pembaca Facebook yang menyokong beliau, tetapi ramai yang menyifatkan pemimpin DAP itu telah melampaui batas.
Rakyat menyaksikan perkembangan ini dan mereka yang tidak memahami mesej tersebut berasa terhina dan tertinggal.
Dalampada itu, Tan Sri Rais Yatim berkata, apa yang dilakukan oleh Lim itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, selama lebih 40 tahun berkhidmat dalam kerajaan, tidak pernah digunakan bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris, sekiranya dibenarkan.
Kita rasmikan kehendak Perlembagaan iaitu bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, katanya.
Kita rakyat Malaysia, jadi untuk kenyataan rasmi, bahasa Melayu adalah bahasa pertama, diikuti bahasa Inggeris, kata pengguna Facebook, Lee Hann Min.
Pandangan itu turut disokong oleh Ameer Ali Mydin, pemilik rangkaian pasar raya Mydin.
“Semua kenyataan yang dikeluarkan di Malaysia mestilah dibuat dalam bahasa Melayu, diikuti bahasa Inggeris dan bahasa lain jika perlu.
“Jika anda berada di London, saya percaya ia akan dikeluarkan dalam bahasa Inggeris dahulu, kemudian diterjemahkan ke bahasa lain, sama ada Melayu, Mandarin atau Perancis dan sebagainya. Jika anda di China, dalam sidang media, ia akan dikeluarkan dalam bahasa Mandarin terlebih dahulu, kemudian Inggeris, kata usahawan runcit itu.
Sumber : FMT, Agensi Berita
Comments
Post a Comment