Rakyat Sabah Menunggu Kemunculan Musa Aman Dipersidangan Khas DUN Sabah?

Melihat pada kepentingan persidangan khas DUN Sabah Isnin ini dan juga peranan Tan Sri Musa selaku pemimpin tertinggi BN negeri disamping Adun Sungai Sibuga, persoalan pastinya berlegar dalam kalangan pemerhati dan juga rakyat amnya tertunggu-tunggu sama ada bekas ketua menteri Sabah itu membuat kemunculan atau kekal “bersembunyi”.
Apa lagi bila ada yang cakap-cakap bahawa persidangan tersebut antara lain akan menyaksikan majlis angkat sumpah Adun selain membentangkan usul undi menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri.
Dalampada itu, misteri “kehilangan” Musa di bumi Sabah menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk mengaitkannya dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam mendapatkan majoriti mudah untuk membolehkan Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei lepas.
Ada juga yang cuba mengaitkan kehilangan Musa itu dengan siasatan polis selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis mendakwa menerima ugutan jenayah berkaitan pelantikan ketua menteri Sabah.
Bagaimanapun Musa dalam satu kenyataan melalui peguamnya Zahir Shah pada 24 Mei menafikan dakwaan beliau melakukan ugutan jenayah terhadap Tun Juhar dan ini disusuli satu lagi kenyataan pada 26 Mei yang menyatakan beliau akan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan agensi tersebut.
Sumber: Agensi Berita


Comments
Post a Comment