Hentikan Operasi Banteras Pekerja Asing?


Mungkin bertentangan dengan pandangan penduduk tempatan khususnya rakyat Sabah, Majlis Peguam menggesa kerajaan menghentikan segera operasi membanteras pekerja asing tanpa izin (PATI) kerana mereka tiada cara mendapatkan dokumen sah dengan sendiri, sebaliknya perlu bergantung kepada majikan.

Presidennya, George Varughese berkata ramai pekerja asing tidak mempunyai dokumen sah kerana pihak berkuasa tidak menyediakan saluran bebas untuk mereka mendapatkan status sah.

Proses memperbaharui permit kerja mereka, mendapatkan status sah dan diambil bekerja semula hanya boleh dilakukan majikan melalui syarikat terpilih yang dilantik kerajaan, katanya.

Menurut Varughese, kriteria ditetapkan pihak berkuasa adalah terhad, tidak termasuk sejumlah besar pekerja asing. Kekurangan pemeriksaan buruh oleh pihak berkuasa menyebabkan pekerja asing tidak boleh mengadu mengenai pelanggaran hak buruh dan pencabulan hak asasi.

Varughese berkata, Majlis Peguam bimbang dengan operasi besar-besaran ke atas pendatang asing yang bermula 1 Julai lalu sebagai sebahagian tindakan kerajaan ke atas pekerja asing tanpa izin.

Katanya, sepanjang 3 hari pertama Ops Mega 3.0, Jabatan Imigresen dilaporkan menahan lebih 1,200 pendatang haram.

Beliau berkata, organisasi majikan dan masyarakat awam mendakwa pekerja asing sah serta pelarian turut ditahan.

Operasi itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan pekerja asing dan menghalang mereka serta pekerja asing yang mempunyai dokumen sah, keluar bekerja.

Ini mempunyai kesan rumit dan luas terhadap produktiviti sektor ekonomi utama. Pekerja asing diperlukan untuk pembangunan ekonomi negara. Operasi penahanan ini tidak memanfaatkan mana-mana pihak.

Varughese berkata, Majlis Peguam juga bimbang dengan kemasukan ramai pendatang haram ke pusat penahanan penuh sesak, akan menjejaskan kesihatan pendatang haram dan pegawai penguatkuasa.

Majlis Peguam menggesa kerajaan segera menghentikan operasi membanteras pendatang haram dan memulakan program komprehensif untuk memberi status sah kepada mereka.

Kerajaan Malaysia perlu menjalankan kewajipan di bawah Konsensus Asean mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran yang ditandatangani negara anggota pada 14 November 2017, di mana kerajaan komited menyediakan program pengampunan untuk pendatang haram.

Sumber: FMT

Comments

Popular posts from this blog

USNO Baru Bergerak Maju Sebagai Pembangkang Hadapi PRU Akan Datang

Antara Fitnah Atau Kebenaran: Shafie Apdal beli dua Pegawai Daerah Sebagai Calon Parti Warisan?

USNO Baru Mengorak Langkah Susun Struktur Organisasi Di Perengkat Bahagian